Apertur (F-nombor) dan Mod A

Apertur adalah bahagian yang digunakan untuk melaraskan jumlah cahaya yang datang dari kanta. Seperti yang ditunjukkan dalam gambar di bawah, apertur terletak di dalam kanta dan melaraskan jumlah cahaya yang masuk dengan mengubah saiz lubang.

F1.8 F16

Jumlah cahaya yang masuk ke dalam kamera dipengaruhi oleh saiz apertur dan ditunjukkan sebagai f-nombor. F-nombor mempunyai nilai standard tetap, seperti F2, F2.8, F4, F5.6, dan F8. Jika f-nombor semakin besar, apertur tertutup dan semakin sedikit cahaya akan melalui kanta. Jika f-nombor semakin kecil, apertur terbuka dan lebih banyak cahaya akan melalui kanta. Sebagai contoh, jika apertur diubah dari F8 kepada F5.6, jumlah cahaya akan berganda. Maka, walaupun kelajuan pengatup digandakan, ia akan membolehkan jumlah cahaya yang sama banyak masuk ke dalam kamera, selagi keadaan lain kekal sama.

Apertur juga mempengaruhi julat kawasan dalam fokus, atau jumlah pengaburan dalam gambar.
Yang berikut menunjukkan perbandingan antara jumlah pengaburan yang berkaitan dengan apertur. Anda akan dapat melihat bahawa lebih banyak latar hadapan dan latar belakang yang dikaburkan apabila f-nombor menjadi semakin kecil.

Umumnya, lebih kecil f-nombor, lebih banyak cahaya masuk ke dalam kamera, dan lebih banyak kesan pengaburan yang dapat anda nikmati. Setiap kanta mempunyai f-nombor minimumnya sendiri, dan ini dipanggil "apertur maksimum" kanta tersebut. Untuk menyemak apertur maksimum sesebuah kanta, rujuk spesifikasi kanta atau nilai yang dicetak pada kanta sebagaimana yang ditunjukkan dalam gambar di bawah.
Kanta yang mempunyai f-nombor kecil umumnya dipanggil "kanta pantas".

Mod A (Mod Keutamaan Apertur)

Mod A (Mod Keutamaan Apertur) adalah mod yang membolehkan anda menetapkan f-nombor sebagaimana yang dikehendaki. Menurut keadaan ini, kamera akan menetapkan kelajuan pengatup dan sensitiviti ISO secara automatik agar gambar diambil dengan dedahan yang mencukupi.
Mod ini sesuai jika anda hendak mengaburkan latar hadapan dan latar belakang dan memfokus hanya pada subjek utama, atau semasa anda hendak menampilkan dengan jelas keseluruhan landskap dengan cara memfokus kepada semuanya dari latar hadapan hinggalah latar belakang.

Ditangkap dengan F1.4 untuk pengaburan latar belakangDitangkap dengan F11 untuk menangkap keseluruhan imej dengan jelas termasuk latar belakang

Apabila f-nombor semakin besar, lubang yang membolehkan cahaya masuk ke dalam kamera akan menjadi semakin kecil. Oleh itu, kelajuan pengatup akan menjadi perlahan, yang mungkin akan menyebabkan kekaburan imej akibat gegaran kamera. Jika hal ini berlaku, cuba tangkap dengan f-nombor yang lebih kecil sekali lagi.