Faktor Pengaburan

Keupayaan untuk menikmati pengaburan secara bebas merupakan salah satu ciri yang hanya boleh ditawarkan oleh kamera digital kanta boleh tukar dengan sensor yang besar. Dengan mengaburkan latar belakang dan latar hadapan subjek, subjek akan kelihatan lebih hebat.

Untuk mengawal jumlah pengaburan, empat faktor ini, "apertur (f-nombor)," "jarak fokus," "jarak pemfokusan" dan "jarak dari latar belakang" adalah penting. Anda boleh menghasilkan pengaburan sebagaimana yang anda kehendaki dengan menggabungkan faktor-faktor ini dengan berkesan.

  1. F-nombor: Jadikannya lebih kecil agar lebih kabur.
  2. Jarak fokus: Jadikannya lebih panjang agar lebih kabur.
  3. Jarak pemfokusan: Jadikannya lebih pendek agar lebih kabur.
  4. Jarak ke latar belakang: Jadikannya lebih panjang agar lebih kabur.

1. Apertur (f-nombor)

Status apertur ditunjukkan oleh nombor yang disebut f-nombor. Lebih kecil f-nombor, lebih besar jumlah pengaburan. Lebih besar f-nombor, lebih kecil jumlah pengaburan.

F-nombor: 2.8F-nombor: 16

Gambar-gambar ini ditangkap pada posisi yang sama dengan hanya tetapan f-nombor ditukar. Dengan F2.8, titik fokus adalah pada manik kaca merah, dan latar hadapan dan latar belakangnya dikaburkan. Dengan F16, bukan sahaja titik fokus berada pada manik merah, tetapi manik-manik di hadapan dan di belakang kelihatan jelas tanpa dikaburkan.

2. Jarak fokus

Jumlah pengaburan juga dipengaruhi oleh jarak fokus. Pengaburan menjadi lebih besar apabila jarak fokus lebih panjang, dan menjadi lebih kecil apabila jarak fokus lebih pendek. Jika anda menggunakan kanta zum, anda boleh menambah jumlah pengaburan dengan menangkap gambar pada bahagian telefoto.

Jarak fokus: 35 mmJarak fokus: 250 mm

Gambar-gambar di atas ditangkap menggunakan kanta zum yang sama, masing-masing pada jarak fokus 35 mm (bahagian sudut luas) dan 250 mm (bahagian telefoto). Jurugambar menggerakkan kamera supaya bunga pada latar hadapan kelihatan sama besar pada kedua-dua gambar. Seperti contoh ini, jika terdapat ruang yang mencukupi untuk anda bergerak, anda boleh mengaburkan latar belakang dengan banyaknya dengan bergerak jauh sedikit dari subjek dan menangkap gambar menggunakan bahagian telefoto.

3. Jarak pemfokusan (jarak antara kamera dengan subjek)

Selain tetapan kamera seperti "apertur" dan "jarak fokus", jarak antara kamera dengan subjek juga mengubah jumlah pengaburan. Pengaburan latar belakang akan bertambah manakala anda menggerakkan kamera mendekati subjek. Walau bagaimanapun, terdapat had pada sedekat mana anda boleh menghampiri subjek. Gambar-gambar di bawah ditangkap dengan hanya menukarkan jarak pemfokusan. Berbanding gambar [1] yang ditangkap pada jarak 150 cm jauhnya dari subjek, kawasan imej yang lebih besar, kecuali kawasan dalam fokus, telah dikaburkan dalam gambar [2] yang diambil dari jarak 50 cm.

[1] Ditangkap pada jarak 150 cm jauhnya dari subjek[2] Ditangkap pada jarak 50 cm jauhnya dari subjek

4. Jarak di antara subjek dengan latar belakang

Selain daripada jarak antara kamera dengan subjek, jarak antara subjek dengan latar belakang juga mempengaruhi jumlah pengaburan. Lebih jauh latar belakang dari subjek, lebih banyak pengaburan terhasil. Dalam gambar di bawah, kanta pada gambar sebelah kanan digerakkan ke belakang di beberapa kedudukan berbeza untuk membandingkan jumlah pengaburan.

Kedua-dua kanta terletak pada jarak yang sama dari kamera. Kanta gambar di sebelah kanan digerakkan ke belakang sejauh kira-kira 15 cm. Kanta gambar di sebelah kanan digerakkan ke belakang sejauh kira-kira 30 cm.

Fokus ditetapkan pada kanta di gambar kiri. Anda dapat lihat bahawa latar belakang dikaburkan dengan lebih banyak apabila kanta lebih jauh dari titik fokus (kedudukan subjek). Dalam keadaan yang membolehkan anda menggerakkan objek latar belakang, seperti semasa menangkap gambar item kecil di atas meja, anda boleh melaraskan jumlah pengaburan sebagaimana yang anda kehendaki dengan menggerakkan subjek utama dan objek latar belakang.

Dengan cara ini, empat faktor akan menentukan jumlah pengaburan; namun, kesemua faktor ini tidak semestinya penting setiap kali anda hendak menghasilkan pengaburan. Mengikut keadaan latar anda, laraskan setiap faktor untuk mencapai pengaburan dengan berkesan.