Dedahan dan Pampasan Dedahan

Dedahan adalah jumlah cahaya yang masuk ke dalam kamera semasa menangkap gambar. Jumlah cahaya ditentukan oleh apertur dan kelajuan pengatup. Nilai ini digabungkan dengan sensitiviti ISO akan menentukan kecerahan gambar.

Dalam mod tangkapan auto dan mod P/A/S, fungsi dedahan automatik (AE) juga diaktifkan supaya kamera dapat menilai dedahan optimum dan menetapkan apertur, kelajuan pengatup dan sensitiviti ISO mengikut kesesuaian. Menggunakan fungsi AE ini, anda akan dapat menangkap gambar dengan kecerahan yang sesuai yang dinilai secara automatik oleh kamera.

Walau bagaimanapun, bergantung kepada situasi, kecerahan yang dinilai oleh kamera mungkin berbeza daripada yang anda jangkakan. Dalam gambar yang ditangkap dengan fungsi AE di bawah, dedahan adalah berdasarkan kecerahan pertengahan antara awan cerah dan bangunan gelap. Walau bagaimanapun, jika anda ingin menekankan awan yang meninggi, imej yang lebih gelap adalah lebih baik. Sebaliknya, jika anda mahukan bangunan yang dipaparkan dengan lebih jelas, imej yang lebih cerah adalah lebih sesuai.

Pemampasan dedahan +0.7 Pemampasan dedahan 0 Pemampasan dedahan -0.7

Dalam keadaan seumpamanya, anda disyorkan agar menggunakan pemampasan dedahan.
Pemampasan dedahan adalah pelarasan dedahan yang dinilai kamera sebagai bersesuaian dan hampir dengan kecerahan yang anda kehendaki. Seperti dalam contoh di atas, kecerahan yang sesuai bagi suatu gambar itu bergantung kepada suasana atau cita rasa anda sendiri. Jika anda ingin menjadikannya lebih cerah, laraskan ke bahagian +, dan jika anda ingin menjadikannya lebih gelap, laraskan ke bahagian -.
Dengan kamera digital, anda boleh menyemak hasil tangkapan pada masa itu juga. Lakukan pemampasan dedahan berulang kali untuk mencapai kecerahan yang anda ingini.