Gaya Kreatif

Mari kita cuba Gaya Kreatif supaya anda lebih seronok menggunakan kamera, dengan mengemasi gambar anda dengan suasana yang anda kehendaki. Hanya dengan mempelajari Gaya Kreatif akan meluaskan ekspresi fotografi anda.

Apakah dia Gaya Kreatif?

Gaya Kreatif adalah fungsi untuk memberikan gaya imej yang telah dipraset dalam kamera untuk mencapai matlamat fotografi dan artistik anda. Bergantung kepada model, terdapat 6 hingga 13 gaya seperti [Landskap] dan [Matahari Terbenam], dan gaya ini boleh digunakan dalam mod P/A/S/M.
Dengan imej digital, anda boleh memberikan gambaran berbeza bagi subjek yang sama dengan mengawal pelbagai parameter pada kamera, seperti tona dan kepekatan warna, kecerahan, kontras dan ketajaman.
Gaya Kreatif membolehkan anda mengemasi imej seperti yang dikehendaki dengan mengekalkan imbangan optimum bagi pelbagai parameter ini.
Hanya pilih gaya yang sesuai untuk tema atau suasana yang hendak anda tampilkan, maka kefleksibelan ekspresi fotografi anda akan diperluaskan. Tambahan pula, fungsi khas ini malah akan membolehkan anda berseronok menambahkan matlamat artistik anda berdasarkan gaya yang dipilih.

[1] Gaya Kreatif:[Jelas][2] Gaya Kreatif:[Matahari Terbenam]

Gambar [1], yang ditangkap menggunakan gaya [Jelas], mempunyai kemasan tajam dengan impak dan warna yang lebih jelas. Dalam gambar [2], yang ditangkap menggunakan gaya [Matahari Terbenam], seri warna merah matahari terbenam ditampilkan dengan lebih mengagumkan.
Dengan cara ini, Gaya Kreatif merupakan antara fungsi aplikasi pada kamera yang memberi ruang kepada kehendak jurugambar dalam menghasilkan gambar. Jika anda tidak mendapatkan suasana yang diinginkan dalam tangkapan anda, cuba gunakan gaya berlainan dalam Gaya Kreatif. Jika anda menjumpai gaya yang anda sukai, menjadikan ini gaya standard bagi kamera anda akan dapat memberikan ciri khusus yang tersendiri kepada kamera tersebut.

Bagaimana ia berbeza dengan Pemilihan Latar?

Gaya Kreatif adalah fungsi untuk melaraskan kemasan imej menurut keinginan anda, manakala Pemilihan Latar pula ialah mod tangkapan auto yang menentukan parameter yang optimum secara automatik seperti apertur dan halaju pengatup yang sesuai untuk pemandangan yang dipilih, di samping cara imej diproses. Disebabkan Pemilihan Latar adalah salah satu mod tangkapan auto, anda tidak boleh mengubah tetapan Gaya Kreatif.

Perbezaan antara Gaya Kreatif dengan Pemilihan Latar adalah seperti berikut.

Pemilihan Latar (mod tangkapan):

Kamera secara automatik mengawal kebanyakan tetapan, termasuk apertur dan kelajuan pengatup. Disebabkan tetapan dilaraskan mengikut pemandangan yang dipilih, anda akan dapat menangkap gambar yang cantik dengan mudah dengan hanya bergantung sepenuhnya kepada kamera.

Fungsi Gaya Kreatif:

Fungsi ini membolehkan anda mengawal kemasan imej menurut latar atau tujuan anda. Fungsi ini tersedia dalam mod P/A/S/M, dan benar-benar bebas daripada kawalan apertur, kelajuan pengatup, dan imbangan putih. Anda boleh memilih gaya imej yang sesuai dengan kehendak artistik dan pemandangan yang dikehendaki. Selain itu, anda boleh melaraskan parameter bagi kemasan imej mengikut kehendak anda.

Contoh dan perbandingan Gaya Kreatif

Gambar berikut menunjukkan gaya imej yang terdapat dalam Gaya Kreatif dan ciri-cirinya. Walaupun gaya yang telah sedia diset dalam kamera berbeza-beza mengikut jenis model, 6 gaya berikut merupakan gaya yang paling asas.

  • [Standard]
    Gaya ini ialah gaya imej standard bagi α. Tetapan seperti tona warna, kepekatan warna (ketepuan) dan kontras akan dilaraskan supaya sesuai dengan pelbagai subjek dan latar. Gaya ini sesuai untuk syot kilat yang menangkap gambar pelbagai subjek dengan pantas dan bersahaja.
  • [Jelas]
    Dengan tetapan kontras dan ketepuan yang lebih tinggi, anda akan mendapat kemasan lebih tajam dengan kesan yang lebih besar berbanding dengan gaya [Standard]. Di samping berguna untuk memberikan kesan yang lebih mendalam terhadap subjek dan latar yang berwarna-warni, gaya ini juga boleh menghasilkan warna yang lebih jelas walaupun imej kelihatan terlalu pucat dalam fotografi pencahayaan tinggi (high key photography), atau apabila subjek kelihatan kusam dalam keadaan mendung.
  • [Potret]
    Gaya ini menghasilkan semula tona warna semula jadi wanita dan kanak-kanak. Malahan, gaya ini menggunakan tetapan kontras dan ketajaman yang sesuai untuk potret bagi menghasilkan semula tekstur kulit yang lebih halus dan licin.
  • [Landskap]
    Gaya ini mengabadikan awan biru dan pepohonan hijau dengan tona yang mengagumkan. Gaya ini juga menghasilkan kedua-dua latar dekat dan jauh dengan lebih jelas menggunakan tetapan ketajaman yang tinggi. Disebabkan kontras dan ketepuan juga tinggi, gaya ini memberikan rasa tajam dan jelas pada keseluruhan imej. Gaya ini bukan sahaja sesuai untuk fotografi alam semula jadi seperti awan biru, laut dan gunung-ganang, tetapi juga subjek yang mempunyai awan biru sebagai latar belakang.
  • [Matahari Terbenam]
    Gaya ini menghasilkan semula latar dengan seri warna merah seperti matahari terbenam dan matahari terbit dengan lebih hebat. Disebabkan seri warna merah dikekalkan dengan kawalan imbangan putih, tona warna dan suasana gambar akan tetap kelihatan begitu semula jadi. Gaya ini juga menggunakan tetapan ketajaman yang lebih tinggi untuk menghasilkan pemandangan jauh dengan lebih jelas. Selain itu, jika anda menggunakan gaya ini untuk menangkap gambar orang yang dilimpahi cahaya matahari terbenam, anda boleh menikmati suasana gambar yang berbeza dengan gaya [Potret].
  • [Hitam & Putih]
    Dengan gaya ini, anda boleh menikmati daya tarikan monokrom dan menjadikan subjek lebih menyerlah dengan dramatiknya dengan menghilangkan maklumat tentang warna. Peringkatan yang kaya dari serlahan hingga bayang-bayang dihasilkan dengan begitu indah melalui tetapan kontras dan lain-lain yang sesuai untuk gambar sewarna. Gaya ini juga disyorkan untuk latar yang hendak diberikan aura dokumentari, seperti gambar berita.

Penalaan Halus

Dalam Gaya Kreatif, anda boleh menghalusi gaya yang telah dipraset. Tiga parameter, "Ketajaman", "Kontras" dan "Ketepuan" boleh ditukar dengan ± 3 langkah. Gunakan ciri ini bagi pelarasan terakhir untuk mengemasi gambar anda.

[1][2]

Gambar [1] ditangkap menggunakan Gaya Kreatif [Landskap]. Berdasarkan gaya ini, "Kontras" dan "Ketepuan" dilaraskan ke bahagian + dalam gambar [2]. Walaupun gambar ini mempunyai kemasan yang lebih jelas dengan impak yang kuat, anda hendaklah berhati-hati agar tidak melaraskan terlalu banyak kerana ini akan menghasilkan kemasan yang kelihatan tidak semula jadi.