PELAJARAN 9

Biarkan Item Kecil Memainkan Peranan Utama

Jarak fokus: 30 mm / F-nombor: 7.1 / Kelajuan pengatup: 1/125 saat

Untuk menonjolkan sifat, kehebatan atau kecomelan item kecil, fokus yang tepat pada item adalah amat penting dan biarkan ia memainkan peranan utama dalam gambar tersebut. Bab ini memberikan beberapa teknik tangkapan gambar terutamanya untuk barang hiasan dan item hiasan meja.
Pertama sekali, tetapkan kamera pada mod P untuk memulakan tangkapan.

Peraturan asas: Menghampiri dan menangkap gambar menggunakan bahagian telefoto

Apabila anda menangkap gambar item kecil sebagai subjek utama, kaburkan latar belakang untuk menonjolkan subjek.
Untuk mengambil gambar subjek dari dekat dan mengaburkan kawasan lain, "mendekati subjek sehampir yang boleh" dan "menangkap dengan kanta zum bahagian telefoto (dengan jarak fokuslebih panjang)" merupakan peraturan penting, seperti yang dinasihatkan dalam "1. Tangkap Potret Menarik dengan Orang Diserlahkan", "8. Abadikan Dunia Mikro" dsb. Walau bagaimanapun, memenuhi keseluruhan bingkai dengan subjek mungkin tidak berkesan untuk menampakkan sifat-sifat item kecil tersebut. Dalam keadaan sebegini, buat tangkapan berulang kali sambil menjauhkan kamera dari subjek sedikit demi sedikit.

Gambar ini telah ditangkap dengan kanta zum "SEL1855" yang disertakan dalam kit kanta zum NEX-F3. Untuk mengaburkan latar belakang, jarak fokus telah ditetapkan kepada hujung telefoto, 55 mm. Dengan memfokus kepada item kecil dan menangkap gambar dari paras yang sama dengan kedudukannya, item diserlahkan dengan latar belakang dikaburkan.
Selain itu, kanta makro berguna semasa mengambil gambar item kecil. Berbanding dengan kanta lain, kanta makro membolehkan anda menghampiri subjek dengan amat dekat sekali. Dengan itu, anda boleh menangkap pandangan dekat barang kemas kecil seperti cincin, rantai dan anting-anting.

Kanta: SEL1855 / Jarak fokus: 55 mm / F-nombor: 5.6 / Kelajuan pengatup: 1/100 saat

Ini adalah tangkapan gambar loket dengan kanta makro.
Selain keupayaan menangkap gambar jarak dekat, satu lagi kelebihan besar kanta makro adalah jurugambar boleh mendekati subjek sehingga hampir tanpa had. Dengan kanta makro, anda boleh memutuskan sudut, komposisi dan saiz subjek dengan fleksibel walaupun dalam ruang yang terhad, seperti di atas meja atau di dalam bilik kecil.

Kanta: SAL100M28 / Jarak fokus: 100 mm / F-nombor: 7.1 / Kelajuan pengatup: 1/13 saat

Mempertimbangkan Komposisi

Beri perhatian kepada komposisi sebelum melepaskan pengatup.
Jika jurugambar yang baru belajar dengan tidak sengaja melepaskan pengatup, subjek utama biasanya akan diletakkan di tengah-tengah bingkai. Komposisi ini jelas meluahkan tenaga dan tema subjek. Namun, apabila menangkap gambar item kecil, memang sukar untuk menggunakan ruang untuk meluahkan ekspresi fotografi dan rentak.
Untuk menangkap gambar item kecil, anda disyorkan agar menggunakan Komposisi "Hukum Tigaan" atau komposisi serong.

Jarak fokus: 100 mm / F-nombor: 2.8 / Kelajuan pengatup: 1/60 saat Komposisi "Hukum Tigaan"

Inilah dia contoh Komposisi "Hukum Tigaan". Dalam komposisi "Hukum Tigaan", bingkai dibahagikan kepada 9 bahagian (3 mendatar x 3 menegak) dan subjek utama ditempatkan di titik persilangan garis pembahagi. Dalam contoh di atas, item kecil yang utama ditempatkan pada titik persilangan bahagian atas sebelah kanan. Dengan meletakkan subjek utama pada kedudukan ini, gambar akan kelihatan lebih stabil, dengan keseimbangan terbaik yang diwujudkan oleh corak kain di ruang terbuka. Walau bagaimanapun, jika anda menggunakan Komposisi "Hukum Tigaan" untuk semua tangkapan, ia akhirnya akan menjadi sebaliknya dan membosankan. Dengan itu, anda disyorkan untuk menggunakan komposisi ini hanya sebagai rujukan apabila anda tidak pasti jenis komposisi yang hendak digunakan.

Jarak fokus: 30 mm / F-nombor:3.5 / Kelajuan pengatup: 1/20 saat Komposisi serong

Satu lagi komposisi yang disyorkan untuk menangkap gambar item kecil adalah komposisi serong. Seperti dalam gambar di atas, jika item yang sama atau corak dibariskan berturutan, atau jika terdapat corak berjalur, susunkan secara menyerong dalam bingkai untuk membuat komposisi ini.
Komposisi serong boleh menambah rentak dan membiarkan penonton membayangkan latar di luar bingkai.

Komposisi serong
Jarak fokus: 18 mm / F-nombor:3.5 / Kelajuan pengatup: 1/400 saat

Gambar ini juga merupakan contoh komposisi serong. Makarun berwarna-warni disusun secara sekata dalam bingkai.
Dengan cara ini, komposisi serong akan menghasilkan rentak dan perspektif, tetapi ia boleh juga memberikan kesan tidak seimbang dan tidak menyenangkan. Jangan hanya menggunakan satu komposisi sahaja setiap kali, tetapi cuba pelbagai komposisi. Bagi contoh makarun di atas, menangkap gambar betul-betul dari atas makarun boleh membuatkan gambar kelihatan menarik.

Mencuba kanta makro

Jika anda kerap menangkap gambar item kecil atau bunga, penggunaan kanta makro akan banyak meningkatkan ekspresi fotografi anda. Jika anda menggunakan kanta makro buat kali pertama, anda disyorkan agar menggunakan kanta "SAL30M28" untuk A-mount dan "SEL30M35" untuk E-mount. Kedua-duanya mempunyai sudut pandangan yang mudah, dan memberikan prestasi kos yang cemerlang.

Jarak fokus: 30 mm / F-nombor:3.5 / Kelajuan pengatup: 1/50 saat

Kanta ini membolehkan anda menghampiri subjek hingga sedekat 2 cm untuk mengabadikan imej makro dengan pembesaran sehingga 1:1. Butiran yang anda fokuskan akan menjadi begitu tajam, manakala latar belakang yang tidak difokuskan tenggelam dalam kekaburan putih kuning yang betul-betul menyerlahkan perincian subjek.

Jarak fokus: 30 mm / F-nombor:3.5 / Kelajuan pengatup: 1/60 saat

Kanta ini menawarkan keupayaan makro serba boleh berprestasi tinggi dalam badan yang kompak dan ringan. Kanta ini merupakan kanta makro 1:1 yang sebenar dengan jarak berfungsi minimum 2.4 cm yang membolehkan subjek kecil dan perinciannya dipersembahkan dengan resolusi dan kontras yang sangat baik.