PELAJARAN 4

Tangkap Gambar Makanan yang Kelihatan Lazat

Jarak fokus: 46 mm / F-nombor: 5.6 / Kelajuan pengatup: 1/100 saat / Pemampasan dedahan: +1

Apabila anda menangkap gambar hidangan atau manisan, alangkah baiknya sekiranya gambar itu turut menggambarkan kelazatan subjek.
Untuk menangkap gambar sedemikian, ambil kira warna dan kecerahan, supaya anda boleh menghasilkan semula rupa makanan yang menyelerakan yang hampir sama dengan imej sebenar.
Pertama sekali, set kamera kepada mod P, dan cubalah teknik-teknik berikut.

Menghasilkan semula warna sebagaimana yang anda kehendaki

Warna dan kecerahan adalah penting untuk menjadikan gambar hidangan dan manisan kelihatan lazat.
Pertama, laraskan warna dengan imbangan putih. Imbangan putih adalah fungsi untuk melaraskan standard warna "putih", tetapi ia juga boleh digunakan sebagai penapis warna dalam kamera digital. Pertama, tangkap gambar dengan imbangan putih auto [AWB] untuk menentukan sama ada hasilnya seperti yang anda kehendaki, dan kemudian cuba [Siang] atau [Mendung] jika perlu. Jika anda ingin terus mencari warna yang anda kehendaki, fungsi penalaan halus bagi imbangan putih boleh memberi kesan.
Umumnya, hidangan makanan akan kelihatan lebih lazat apabila ditangkap dengan warna yang sedikit hangat (ton kemerahan).

Gambar ini ditangkap menggunakan tetapan imbangan putih yang berbeza. Ditangkap dengan [AWB], gambar [1] kelihatan lebih putih daripada imej sebenar disebabkan oleh sumber cahaya di dalam restoran. Gambar [2] ditangkap dengan ciri [Siang]. Warna yang lebih hangat telah menambahkan kemasan yang kelihatan lazat pada gambar tersebut.

[1]Imbangan putih: AWB[2]Imbangan putih: Siang

Mengambil kira sudut cahaya

Sudut cahaya dan kecerahan juga merupakan faktor penting. Hidangan akan kelihatan lebih lazat apabila ditangkap dengan cahaya belakang. Apabila ditangkap dengan cahaya depan, bentuk dan warna makanan akan dipaparkan dengan jelas.Namun, disebabkan cahaya tidak mencipta bayang-bayang pada subjek atau bersinar melaluinya, gambar akan kekurangan kedalaman dan kelihatan rata.

Gambar [1] ditangkap dengan cahaya depan. Bentuk roti dan buah-buahan dipaparkan dengan jelas, tetapi imej kelihatan rata seperti gambar rekod. Denyar langsung juga akan mewujudkan cahaya depan dan menghasilkan gambar yang sama.
Gambar [2] ditangkap dengan cahaya belakang. Dengan adanya bayang-bayang, roti kelihatan mempunyai kedalaman. Tambahan lagi, buah-buahan dan segelas minuman tersebut kelihatan berair akibat cahaya yang bersinar melaluinya. Dengan hanya mengubah sudut cahaya, kemasan akhir gambar kelihatan begitu berbeza.

[1] Tangkapan dengan cahaya depan[2] Tangkapan dengan cahaya belakang

Walau bagaimanapun, jika anda menangkap gambar dengan cahaya belakang, subjek mungkin akan kelihatan lebih gelap daripada yang dijangkakan akibat latar belakang yang cerah. Dalam keadaan sebegini, gunakan fungsi pemampasan dedahan. Jika makanan kelihatan gelap, laraskan dedahan ke sebelah + untuk menjadikannya lebih cerah. Yang penting adalah melaraskan dedahan berdasarkan kecerahan makanan itu sendiri, dan tidak mengapa jika ia menyebabkan latar belakang kelihatan agak putih.

Dalam gambar [3], makanan kelihatan gelap akibat cahaya terang yang masuk ke dalam kanta.
Gambar [4] adalah hasil selepas menggunakan pemampasan dedahan pada yang di sebelah kiri. Dengan melaraskan dedahan berdasarkan makanan tersebut untuk menjadikannya lebih cerah, ia kini kelihatan lebih lazat.

[3] Pemampasan dedahan: 0[4] Pemampasan dedahan: +1

Mengubah komposisi

Jika anda cuba menangkap gambar keseluruhan hidangan, ia sering berakhir dengan gambar rekod yang tidak menarik. Walau bagaimanapun, jika anda mengambil berat tentang komposisi sedikit sahaja, anda akan dapat memperbaiki suasana dalam gambar.
Dalam gambar di bawah, [1] mengabadikan keseluruhan hidangan dari kedudukan mata jurugambar. Anda boleh melihat kandungan hidangan tersebut, tetapi gambar itu kelihatan membosankan dan tidak bermakna. Selain itu, gambar kelihatan berserak dengan adanya hidangan makanan dan pinggan mangkuk perak di sekelilingnya dalam bingkai.

Untuk memperbaiki ini, [2] ditangkap dengan menghampiri hidangan sedekat yang boleh. Ia mengabadikan hidangan dengan begitu dekat sehingga sebahagian darinya terkeluar dari bingkai. Gambar ini mempunyai lebih rasa kehadiran, dan menggambarkan kelazatan hidangan tersebut. Latar belakangnya juga lebih tersusun.
Juga, tangkapan dalam orientasi menegak atau orientasi pepenjuru (dengan kamera dicondongkan) disyorkan kerana ia berkesan untuk menzahirkan kedalaman.

[1][2]

Mencuba kanta jarak fokus tetap

Kanta jarak fokus tetap adalah berguna untuk fotografi makanan kerana ia boleh mewujudkan pengaburan latar belakang yang hebat. Tambahan lagi, oleh sebab kanta jarak fokus tetap membolehkan jumlah cahaya yang banyak memasuki kamera, ia juga berkesan untuk tangkapan dalam cahaya malap di dalam bangunan.

Jarak fokus: 50 mm / F-nombor: 2.8 / Kelajuan pengatup: 1/400 saat / Pemampasan dedahan: +0.7

Ini adalah kanta telefoto jarak sederhana bagi kamera format APS-C.
Kanta ini amat sesuai untuk menangkap gambar potret dan juga untuk membingkaikan dan mengasingkan kawasan berbeza dalam pemandangan yang lebih luas.
Anda bukan hanya boleh mengasingkan subjek yang dikehendaki menggunakan pembingkaian, tetapi anda juga boleh memanfaatkan apertur maksimum F1.8 yang besar dan reka bentuk apertur membulat kanta ini untuk mengasingkan subjek anda daripada latar belakang menggunakan pengaburan.
Apertur maksimum yang besar juga memudahkan tangkapan gambar dalam keadaan kurang cahaya, suatu keupayaan yang ditingkatkan selanjutnya oleh penstabilan imej SteadyShot yang ditampilkan dalam badan kamera siri α.

Jarak fokus: 50 mm / F-nombor: 2.0 / Kelajuan pengatup: 1/80 saat

Ini adalah kanta telefoto julat pertengahan dengan jarak fokus 50 mm yang amat sesuai untuk pemotretan.
Reka bentuk apertur besar dan apertur membulat boleh menghasilkan latar belakang dikaburkan yang indah.
Selain itu, dengan berfungsi bersama dengan sistem penstabilan imej Optical SteadyShot terbina dalam, ia boleh menangkap gambar imej yang tajam dan jelas dalam keadaan kurang cahaya.