PELAJARAN 3

Abadikan Landskap Dinamik

Jarak fokus: 16 mm / F-nombor: 11 / Kelajuan pengatup: 1/100 saat

Jika anda menemui landskap yang luas semasa mengembara, anda tentu ingin mengabadikannya seadanya ke dalam gambar, termasuk kehebatannya dan suasana menyegarkan yang anda rasakan pada ketika itu.
Untuk mengambil gambar sedemikian, set kamera pada mod A, dan cuba teknik di bawah.

Menangkap gambar dengan apertur lebih kecil

Pertama sekali, gunakan apertur yang lebih kecil untuk menangkap gambar landskap. Menetapkan nilai apertur kepada sekitar F8 membawa keseluruhan imej kepada fokus yang tajam, walaupun nilai yang disyorkan mungkin berubah-ubah bergantung pada suasana tangkapan atau kanta.
Secara amnya, jika anda ingin mengambil gambar yang tajam dengan kontras yang tinggi, tambahkan F-nombor. Sebaliknya, jika anda ingin melembutkan rasa keseluruhan imej, kurangkan F-nombor.

Ditangkap dengan apertur F9.0, gambar ini kelihatan tajam dengan memfokus kepada kedua-dua pokok pain di hadapan dan langit di latar belakang. Jika F-nombor terlalu kecil, gambar mungkin akan mengalami kekurangan ketajaman, kerana hanya salah satu antara pokok atau langit yang dapat difokuskan.

Jarak fokus: 16 mm / F-nombor: 9.0 / Kelajuan pengatup: 1/30 saat

Mengabadikan julat yang luas pada bahagian sudut luas

Jika anda menangkap gambar landskap dengan kanta zum, anda akan dapat mengabadikan kepelbagaian pemandangan itu menggunakan bahagian sudut luas kanta (dengan jarak fokus yang lebih pendek). Di samping itu, jika anda menangkap gambar landskap bersama langit, mengisikan kawasan imej yang besar dengan langit akan memberi kesan meluas dan menyampaikan kehebatan pemandangan tersebut.

Gambar ini ditangkap pada bahagian sudut luas kanta zum. Walaupun subjek utama ialah lautan, suasana yang hebat ditingkatkan dengan mengisikan kawasan yang lebih luas dengan langit dan awan, berbanding hanya mengabadikan lautan dalam keseluruhan bingkai.

Jarak fokus: 16 mm / F-nombor: 11 / Kelajuan pengatup: 1/800 saat

Cara meningkatkan ketajaman dan kejelasan

Jika anda ingin memaparkan landskap atau awan dengan lebih tajam dan jelas, ubah tetapan Gaya Kreatif. Menetapkannya kepada gaya [Landskap] akan meningkatkan kontras dan ketepuan, dan mengemasi gambar dengan kedalaman imej yang dipertingkatkan. Jika anda inginkan kontras tambahan pada warna atau bayang-bayang untuk kemasan yang lebih hebat, laraskan "Ketepuan" dan "Kontras" dari tetapan pilihan.Setiap parameter boleh dihalusi dengan ± 3 langkah.

[1]Gaya Kreatif: Standard[2]Gaya Kreatif: Landskap
Ketepuan: +2 Kontras: +2

Gambar ini ditangkap dengan tetapan Gaya Kreatif yang berbeza. Gambar [1] ditangkap dengan gaya [Standard], manakala gambar [2] ditangkap dengan gaya [Landskap] dengan "Ketepuan" dan "Kontras" yang dipertingkatkan daripada tetapan pilihan. Hasilnya, langit dan dedaun berwarna dihasilkan semula dengan jelas dan berkesan.
Walau bagaimanapun, berhati-hatilah agar tidak meningkatkan kontras dan ketepuan dengan terlalu tinggi, kerana ia boleh menyebabkan gambar kelihatan seperti lukisan akibat ketepuan warna.

Mencuba kanta sudut luas

Untuk menangkap gambar dinamik dengan sudut pandangan yang lebih luas, anda disyorkan agar menggunakan kanta sudut luas.
Kanta sudut luas boleh mengabadikan jarak pemandangan yang lebih luas daripada mata manusia, yang membolehkan anda menikmati tangkapan yang unik dalam pemandangan harian yang biasa atau tangkapan jalanan, selain fotografi landskap.

Jarak fokus: 11 mm / F-nombor: 10 / Kelajuan pengatup: 1/80 saat

Kanta ini menawarkan pilihan jarak fokus yang amat diperlukan untuk fotografi serius pemandangan dalam bangunan dan seni bina, selain mana-mana keadaan yang memerlukan liputan sudut luas.
Ia menampilkan kaca ED dan elemen asfera yang mengurangkan silau dan aberasi ke tahap minimum untuk menghasilkan imej yang tajam dan berkontras tinggi, walaupun dalam keadaan yang sukar.

Jarak fokus: 10 mm / F-nombor: 11 / Kelajuan pengatup: 2.5 saat

Kanta zum sudut luas ultra bersaiz 10-18mm ini sesuai untuk landskap yang luas, di samping perspektif yang ditekankan bagi mana-mana subjek.
Asfera dan elemen kaca ED dalam reka bentuk persis optikal menyumbang kepada resolusi dan kontras yang luar biasa, malahan sehingga ke tepi imej.
Dengan apertur maksimum malar F4 melalui keseluruhan julat jarak fokus, anda boleh mengambil kesempatan daripada apertur yang cerah untuk menggunakan kelajuan pengatup pantas walaupun dalam keadaan kurang cahaya.